Posted by: singalaka | Oktober 6, 2009

Bab Sembahyang Jumaat

Syarat Sembahyang Jumaat 

Syarat wajib jumaat itu 7 perkara ;

1)         Islam

2)         Baligh

3)         Berakal

4)         Merdeka

5)         Lelaki

6)         Ketiadaan uzur

7)         Mukim

 

Syarat Sah Jumaat 

1)                  Bahawa jatuh jumaat itu didalam waktu Dzuhur .Maka jika sempit waktu Dzuhur daripada sembahyang Jumaat dan dua khutbah atau syak pada ada waktu lagi ,nescaya wajib disembahyangkan Dzuhur .Jika keluar waktu Dzuhur ketika tengah-tengah sembahyang Jumaat ,maka wajib disempurnakan akan sembahyang Dzuhur dan tiada berkehendak kepada niat Dzuhur .

2)                  Bahawa dikerjakan Jumaat didalam perbinaan yang berhimpun ya`ni didalam peredaran dan perhimpunan rumah-rumah (ya`ni kelilingi kampung bukan bersebelahan dengan kampung ) sama ada rumah itu daripada batu atau tanah atau kayu atau lainnya yang bermukim padanya bilangan-bilangan orang yang memperbuat mereka itu akan Jumaat sekira-kira tiada musafir mereka itu daripada tempat itu ketika sejuk dan ketika panas melainkan kerana hajat sama ada ia negeri atau kampung .Catatan ; Tiada sah Jumaat daripada ahli khemah seperti kem tentera atau di kolej-kolej atau di tengah-tengah bandar walaupun mereka sudah duduk lama kerana mereka itu diatas kelakuan orang yang musafir (ya`ni suatu hari mereka akan meninggalkan tempat itu) dan tiada bagi mereka itu perbinaan orang yang mastautin (ya`ni rumah ,harta benda kepunyaan sendiri dan ingin duduk sehingga mati di situ) .Walau begitu jika kedengaran mereka itu akan bang (azan) Jumaat daripada tempat Jumaat seperti sebelah kampung ada buat jumaat ,maka wajiblah atas mereka itu sembahyang Jumaat pada tempat yang didirikan Jumaat itu .

3)                  Bahawa jangan mendahulukan dengan takbiratul ihram oleh takbiratul ihram Jumaat yang lain pada tempat yang mendirikan Jumaat itu .Begitu juga jangan menyertai akan takbiratul ihramnya pada takbir oleh Jumaat yang lain pada tempat yang mendirikan Jumaat itu kerana ditegah berbilang-bilang Jumaat pada satu tempatnya melainkan jika banyak ahli tempat jumaat itu dan kesukaran berhimpun mereka itu pada satu tempat ,maka harusalah berbilang-bilang Jumaat kerana hajat dan sahlah Jumaat bagi sekaliannya yang dahulu takbiratul ihramnya dan kemudiannya tetapi sunat diiringi Dzuhur kerana mera`ikan pendapat yang mengatakan tiada sah berbilang-bilang Jumaat jikalau kerana hajat sekalipun .Huraian : Jika berbilang-bilang Jumaat tiada kerana hajat dan jatuh takbir beberapa Imam itu sekali ya`ni bersamaan atau syak pada dahulunya dan bersama-samanya ,maka tiada sah Jumaat sekaliannya .Maka wajib sekaliannya berhimpun pada satu tempat dan dimulai jumaat yang lain dengan dua khutbah .Ini jika luas lagi waktunya .

4)                  Bahawa dilakukan sembahyang Jumaat itu hal keadaan berjemaah pada rakaat yang pertama jua dengan bahawa berkekalan berjemaah hingga selesai sujud yang kedua pada rakaat yang pertama itu .Dengan ma`na harus sembahyang sendirian pada rakaat yang kedua sehingga jika mufaraqah (niat bercerai dari Imam) dari Imam kemudian daripada sujud yang kedua sekalipun .Mereka yang dapat serakaat serta Imamnya ,dapatlah Jumaatnya . Catatan ; Bilangan yang empat puluh orang bermastautin itu disyaratkan dia berkekalan sembahyangnya daripada awal sembahyang hingga kepada salam hingga jikalau berhadath seseorang daripada empat puluh orang itu sebelum  salamnya dan jika kemudian daripada salam yang lainnya sekalipun ,maka batallah sekalian jumaat mereka itu .   

5)                  Bahawa adalah jemaah pada Jumaat itu dengan empat puluh orang ahli Jumaat jikalau dengan Imam sekalipun .Maka disyaratkan tiap-tiap daripada empat puluh orang itu sah sembahyang bagi dirinya (cukup syarat) dan jika tiada sah keadaannya jadi Imam bagi kaum itu sekalipun (Fatihahnya tak beberapa elok misalan) . Sah Imam Jumaat itu daripada kanak-kanak yang mumayiz atau orang yang musafir atau sahaya orang atau yang nyata berhadath jika hadath besar sekalipun jika genap bilangan empat puluh orang dengan yang lain daripada mereka itu .Adapun jika tiada genap bilangan-bilangan empat puluh orang melainkan dengan mereka yang tersebut ,maka tiada harus dikirakan mereka itu daripada empat puluh orang .Catatan ; Jikalau kurang bilangan empat puluh orang itu di tengah-tengah sembahyang seperti ada empat puluh orang ,tiba-tiba berhadath salah seorang daripadanya ,maka batallah  jumaatnya .Maka hendaklah menyempurnakan oleh yang tinggal itu akan Dzuhur kerana disyaratkan bilangan-bilangan itu ,hendak ada ia berkekalan seperti waktu .

6)                  Bahawa mendahului akan sembahyang Jumaat itu oleh dua khutbah . 

Rukun Khutbah  Jumaat    

Bermula rukun khutbah itu 5 perkara ;

1)                  Membaca الحمدلله ya`ni memuji Allah .

2)                  Solawat keatas Nabi s.a.w.

3)                  Wasiat dengan تقوى لله  .Ketiga-tiga rukun ini wajib pada kedua-dua khutbah .

4)                  Membaca satu ayat pada salah satu daripada dua khutbah tetapi membaca pada khutbah yang pertama terlebih utama .

5)                 Doa bagi mu`minin pada khutbah yang keduanya .Sekurang-kurang َرحِمَكُمُ الله

Disyaratkan pada dua khutbah itu dengan bahasa arab .Memadalah bahasa arab pada segala rukunnya jua .Tidak mengapa pada bahasa apa pun pada nasihat .Disyarat lagi keadaan keduanya didalam waktu Dzuhur dan mualat (berturut-turut) keduanya dan antara segala rukunnya dan antara khutbah dan sembahyang .Demikian lagi disyaratkan suci daripada hadath dan najis yang tiada maaf daripadanya sama ada pada kainnya atau badannya atau tempat pendiriannya dan juga menutupi aurat .Ini bagi Khatib .Adapun segala mereka yang mendengar khutbah ,maka tiada disyaratkan  daripada yang tersebut . Disyaratkan lagi berdiri bagi yang kuasa pada kedua khutbah dan duduk antara dua khutbah kadar tuma`ninah (kadar subhanallah) .Sunat dipanjangkan sedikit duduk itu kadar baca surah Al-ikhlas serta sunat dibacakannya .Bagi yang membaca khutbah hal keadaan duduk kerana uzur ,wajib diceraikan antara kedua khutbah itu dengan diam . Disyaratkan lagi mendengar oleh empat puluh orang yang sah Jumaat dengan mereka itu jika tiada faham mereka itu akan ma`nanya sekalipun .Memadalah empat puluh orang itu dengan Khatib dan jika tiada mendengar khatib itu akan khutbah dengan sebab tuli sekalipun kerana ia ketahui akan barang yang dibacanya .Demikan lagi , disyaratkan pula pada dua khutbah dan sembahyang itu genap bilangan-bilangan yang empat puluh daripada awal khutbah hingga selesai sembahyang .

Sunat-sunat Jumaat    

Inilah beberapa sunat bagi mereka yang hendak mendirikan sembahyang Jumaat .

1)                  Mandi bagi mereka yang berkehendak hadir Jumaat sama ada orang yang wajib Jumaat atau tiada dan waktunya daripada fajar tetapi yang afdhalnya tatkala hampir perginya  .Maka jika lemah daripada mandi ,hendaklah ditayamum ganti daripadanya .

2)                  Membersihkan badannya dari bau yang busuk .

3)                  Memakai pakaian yang putih

4)                  Mengeratkan kuku jika panjang .

5)                  Mengerat bulu ari-ari dan dicabutkan bulu ketiak .Makruh meninggalkan kerat bulu ari-ari dan dicabutkan bulu ketiak lebih daripada 40 hari .Sesungguhnya syaitan akan bergayut di situ .

6)                  Mengandamkan misai .

7)                  Memakai bau-bauan (minyak wangi) .

8)                  Diam serta mendengar akan khutbah .Makruh memberi salam atau membuat ibadat-iabadat sunat yang lain seperti membaca Alquran atau bersedekah tatkala khatib membaca khutbah kerana ketika itu kita dituntut mendengarkannya .Banyak berlaku di masjid-masjid kita dan di negeri-negeri jiran ,tabung berjalan ketika khatib membaca khutbah sama ada dengan tabung yang beroda atau tabung yang dibawa oleh Ajk-Ajk masjid itu sendiri.

Catatan ;  Mereka yang masuk ke Masjid pada hal Imam sedang membaca khutbah , hendaklah ia sembahyang sunat Jumaat dua rakaat yang ringan keduanya .Maka haram orang yang sudah hadir didalam Masjid lagi tiada sah ia sembahyang sunat atau fardhu tatkala Khatib membaca sama ada sudah diperbuat sunat itu dahulu daripada khutbah atau belum lagi diperbuatnya .Wallahualam .


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: