Posted by: singalaka | Ogos 12, 2010

Bab Puasa

Rukun puasa

Bermula rukun puasa itu tiga perkara =

1) Niat . Wajib niat dengan hati jua .Sunat melafazkan niat itu dengan lidah . Wajib berniat puasa tiap-tiap hari sama ada puasa itu fardhu atau sunat ,kerana puasa didalam tiap-tiap hari itu suatu ibadat masing-masing berkehendak sekelian kepada niat .Maka jika berniat seseorang pada malam pertama daripada bulan ramadhan bahawa ia puasa sebulan ramadhan ,tiadalah memadai akan niat yang demikian itu melainkan memadai bagi puasa yang pertama jua tetapi sebaiknya hendaklah ia berniat demikan itu pada malam yang pertama daripada bulan ramadhan supaya hasil pahala puasa ramadhan jika lupa ia akan niat pada setengah daripada segala malamnya yang kemudian daripada itu ,pada mazhab orang yang memadai akan niat yang demikian itu .Wajib pada puasa fardhu ,berniat pada malam iaitu barang yang antara masuk matahari dan terbit fajar .Niatnya = نويت صوم غد عن رمضان

2) Menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa .Setengahnya iaitu jima’ iaitu dengan memasukkan sekalian hasyafah zakar atau kadar hasyafah pada zakar yang terpotong kedalam faraj jikalau dubur manusia atau lainnya sekalipun ,maka batallah puasanya jikalau tiada inzal (keluar air mani) sekalipun dengan syarat jika tahu ia akan haramnya dan disengajanya lagi dengan ikhtiyarnya (pilihannya) .Adapun jika ada ia jahil akan haramnya atau ia jima’ dengan lupanya atau digagahi orang akan dia ,tiadalah batal puasanya .
Setengah perkara lagi,mengeluarkan mani dengan lain daripada jima’ seperti keluarkannya dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau gundiknya ,maka batallah puasanya .
Setengah perkara lagi , batal puasa dengan inzal sebab bersentuh atau bercium atau berpeluk dengan perempuan dengan tiada berlapik .Tiada batal puasa dengan sebab keluar mazi .Demikian lagi tiada batal puasa dengan inzal ,sebab bersentuh dengan lelaki muda belia tetapi sebaiknya diqada’nya puasanya supaya keluar ia daripada khilaf .
(Masaalah)= Jika menggaru-garu seorang akan zakarnya kerana sangat gatal atau barang sebagainya ,maka lalu ia inzal ,maka tiadalah batal puasanya . Demikan lagi tiada batal puasanya dengan inzal sebab tergaru zakarnya dengan pelana kudanya tatkala mengenderainya .
(Masaalah)= Jika gatal zakar seseorang dan diketahuinya apabila digaruinya akan zakar itu ,nescaya inzal ia ,maka digarunya juga lalu inzal ,maka ditilik = jika tiada dapat ia menahani akan dirinya daripada menggaruinya ,tiadalah batal puasanya .Jika dapat menahaninya,maka batallah puasanya .
Demikian lagi tiada batal puasa dengan sebab bermimpi hinga keluar air mani . Demikan lagi tiada batal puasa dengan inzal ,sebab menyentuh faraj binatang atau dengan fikir atau dengan menilik atau menyentuh perempuan dengan berlapik walau lapikkan itu nipis sekalipun dan jika berulang-ulang yang tiga itu dengan syahwat sekalipun kerana ketiadaan mubasyarah (bersentuh kulit) seperti bermimpi tetapi haram mengulang-ulangi akan dia dan jika tiada inzal sekalipun ,demikianlah kata asnawi .Kata Zarkashi ,tiada haram mengulang-ulanginya melainkan jika inzal ia .
Demikian lagi haram atas yang mencium perempuan atau menyentuh dia pada mulutnya atau lainnya jika tiada kuasa ia menahani dirinya daripada jima’ atau inzal kerana yang demikian itu membawa kepada membinasakan ibadat .Jika kuasa ia menahani dirinya daripada demikian itu ,maka tiadalah haram atasnya mencium atau menyentuh dia tetapi telebih baik meninggalkan perbuatan itu .
Demikian lagi ,tiada batal puasanya dengan inzal ,sebab menyentuh barang yang tiada membatalkan wudhu’ seperti menyentuh anggota perempuan yang bercerai .
Demikian lagi ,jika diciumnya atau dipeluknya akan perempuan dan dijauhkan dirinya daripadanya sebelum daripada fajar ,kemudian inzal ia mengiringi fajar ,tiadalah batal puasanya . Jika diciumnya akan perempuan pada siang hari tatkala ia puasa ,kemudian maka bercerai ia daripadanya dalam beberapa waktu ,kemudian lalu inzal , maka ditilik = jika ada syahwatnya itu berkekalan dan zakarnya itu lagi bangkit hingga inzal ,maka batallah puasanya .Jika tiada demikian itu ,maka tiadalah batal puasanya .

Setengah daripada yang membatalkan puasanya iaitu menyahaja muntah jika tahu ia akan haramnya lagi dengan ikhtiyarnya dan jika yakin ia akan tiada kembali suatu daripada muntah ke dalam perutnya sekalipun ,maka batal puasanya dengan dia .Kata Syeikh Ibnu Hajar didalam Tuhfah ,jumlah daripada menyahaja muntah iaitu menarik benang dari dalam perutnya yang diperlankannya di waktu malam (ya’ni sebahagiannya berada dalam perut dan sebahagiannya berada diluar mulut) ,maka batal puasanya . Bersalahan yang mengeluarkan pada siang hari akan kapas yang dimasukkannya pada malam ke dalam batin zakarnya atau farajnya ,maka tiadalah batal puasanya .Jika dibiarkan benang itu yang pada had zahir ,tiadalah sah sembahyangnya dengan dia kerana berhubung dengan najis .Maka jalan yang menghasilkan sah sembahyang dan puasanya ,hendaklah ditarik akan dia oleh orang lain pada ketika lalainya dari kerana jika ditarik orang akan dia pada ketika tiada lalainya dan dapat ia menolakkan orang yang menarik itu ,maka tiada ia ditolakkan akan dia ,maka batallah puasanya . Jika tiada orang yang menarik seperti demikian itu ,maka wajib atasnya memeliharakan sembahyangnya kerana hukum sembahyang itu terlebih besar daripada hukum puasa .Maka dari kerana inilah dibunuh akan orang yang meninggalkan sembahyang dan iada dibunuh orang yang meninggalkan puasa . Demikian lagi ,sembahyang itu iada harus meninggalkan dia sebab uzur dan harus meninggalkan puasa dengan sebab uzur .Maka apabila wajib atasnya memeliharakan sembahyangnya , maka wajib atasnya menarik benang itu atau memerlankannya .kemudian diqada’kan puasanya .Sebaiknya diperlankannya supaya tiada kena najis mulutnya tetapi tempat yang tersebut itu sekaliannya ,apabila tiada dapat baginya memotong benang yang pada had zahir daripada mulut . Adapun jika dapat yang demikian itu , maka wajib atasnya memotong yang pada had zahir mulut dan memerlan pada had batin .
Demikian lagi ,tiada batal puasanya atas qaul yang mu’tamad jika dikeluarkannya dahak daripada otaknya atau perutnya lalu diludahkannya .Demikian lagi tiada batal puasanya dengan tiada khilaf ,jika keluar dahak daripada otak atau perut dengan sendirinya atau keluar ia dengan sebab batuk atau lainnya ,lalu diludahkannya akan dia .Jika diperlankannya akan dia serta kuasa ia meludahkannya kemudian daripada sampai ia kepada had zahir mulut iaitu makhraj Ha ,maka batallah puasanya .

Setengah dariapda yang membatalkan puasanya iaitu memasukkan suatu ain kedalam yang dinamai rongga dengan syarat jika sampai ia kepada rongga itu daripada lubang yang terbuka dan jka ada ain itu kecil seperti biji sahwi atau tiada dimakan akan ia pada adat seperti batu sekalipun ,maka batallah puasanya .jika tahu ia akan haramnya lagi dengan disengajanya dan dengan ikhtiyarnya ,sama ada pada rongga itu kekuatan yang menghancurkan makanan dan ubat seperti batin perut dan pekemehnya dan batin otak atau tiada baginya kekuatan yang menghancurkan makanan dan ubat seperti batin telinga dan batin lubang zakar atau faraj dan lubang hujung susu badan ,maka batallah puasanya dengan memasukkan sesuatu kedalam yang tersebut .
Demikian lagi , batal puasa jika dititikkan air atau minyak atau barang sebagainya pada batin lubang telinga dan lubang susu badan dan lubang zakar .
Demikian lagi , batal puasanya jika dimasukkannya hujng jari pada dubur atau faraj hingga terlampau daripada had yang wajib membasuh dia tatkala istinja’ . Maka keluar dengan kata yang dinamai rongga iaitu barang yang tiada dinamai rongga seperti didalam sungsum atau didalam daging yang dimana jika mengubati seseorang akan lukanya yang pada betisnya atau pada pehanya ,maka sampai itu kedalam sungsum betisnya atau kedalam pehanya ,maka tiadalah batal puasanya .
Demikian lagi , tiada batal puasanya jika dicucukkannya dengan jarum besi umpamanya kedalam daging pehanya kerana tiada di sana rongga .Jikalau menikam seseorang akan dirinya dengan pisau umpamanya atau menikam akan dia oleh orang lain dengan izinnya ,maka sampai pisau itu kepada rongganya ,maka batal puasanya . Keluar dengan kata rongga yang terbuka iaitu barang yang sampai kepada rongga daripada lubang yang tiada terbuka , maka tiada batallah puasanya dengan berminyak jika meresap minyak pada segala lubang pohon roma dan rambut dan dirasanya akan minyak itu sampai kepada rongganya sekalipun kerana tiada dimasukkannya kepada rongganya daripada lubang yang terbuka .
Demikian lagi , tiada batal puasanya dengan bercelak dan jika didapatnya warna celak pada ludahnya dan dirasanya rasa celak pada kerongkongnya sekalipun kerana tiada lubang yang terbuka daripada matanya hingga kerongkongnya ,maka iaitu seperti minyak yang meresap pada segala lubang roma atau rambut jua .
Demikian lagi , tiada batal puasanya dengan sebab mandi dan jika meresap air kepada batinnya daripada segala lubang pohon roma dan rambut sekalipun kerana tiada sampai ia kepada rongganya daripada lubang yang terbuka .Jika termasuk air ke dalam rongganya daripada lubang yang terbuka seperti telinganya tatkala mandi kerana menyejukkan badan ,begitu juga jika termasuk air pada yang keempat kali daripada masuk air ke hidung atau berkumur-kumur ketika ambil wudhu’ ,maka batallah puasanya .Jika menyelam didalam air serta dibukakan mulutnya ,maka termasuk air ke dalam perutnya ,maka batallah puasanya kerana tiada sukar memeliharakan daripadanya dan kerana makruh menyelam bagi orang yang puasa seperti melebih-lebih pada masuk air ke hidung atau berkumur-kumur ketika ambil wudhu’ jua tetapi jika diketahuinya daripada adatnya ,apabila menyelam ia ,nescaya termasuklah air kepada rongganya ,haramlah atasnya menyelam .Adapun jika termasuk air ke dalam rongga yang mandi wajib seperti mandi haid atau nifas atau janabah atau mandi sunat ,maka tiada batal puasa dengan dia .Itupun jika tiada menyelam ia tatkala mandi .Jika menyelam ia dan termasuk air ke dalam rongganya ,tatkala itu batallah puasanya . Jikalau dimasukkan sesuatu ke dalam mulutnya dengan disengajanya kerana ada tujuan ,kemudian diperlankannya dengan lupanya , tiadalah batal puasanya .Tiada makruh bagi yang puasa mandi dan berminyak dan bercelak ,hanya yang demikian itu khilaful aula ertinya menyalahi yang utama .Maka yang utamanya bagi yang puasa ,bahawa jangan ia mandi dan berminyak dan bercelak kerana pada Mazhab Malik menyatakan batal puasa dengan bercelak . Tiada batal puasanya dengan berbuang darah dengan berpetik dan berbekam tetapi terutama janganlah ia berbuang darah kerana yang demikian itu melemahkan badan dan jikalau keluar dubur yang berpenyakit buasir itu ,maka tiadalah batal puasanya dengan memasukkan atau termasuk ia dengan sendirirnya kerana sangat hajat kepada memasukkan dia dan wajib membasuh duburnya daripada cemar dan lendir yang ada ia pada dubur itu jika tiada memberi mudhorat akan dia .
Demikian lagi ,tiada batal puasanya jika termasuk lalat atau nyamuk kepada batin mulutnya .Maka jangan dikeluarkannya akan dia kerana boleh membawa kepada batal puasanya kerana yang demikian itu jumlah daripada menyahaja muntah tetapi jika takut mudhorat seperti mengharuskan tayamum ,maka haruslah baginya mengeluarkan dia dan wajib atasnya mengqada’ puasa itu .
Demikian lagi , tiada batal puasanya jika termasuk debu jalan yang suci atau debu tepung tatkala diayakkannya sama ada ia sedikit atau banyak kerana sukar memeliharakan daripadanya tetapi jika disengahajanya membukakan mulutnya hingga masuk debu itu ke dalam mulutnya ,maka batallah puasanya jika ada debu itu banyak . Jika debu yang masuk itu sedikit pada uruf ,maka tiada batal puasanya .
Demikian lagi , tiada batal puasanya sebab merasai makanan dengan lidah dan jika sampai rasa makanan itu kepada kerongkongnya sekalipun kerana rasa makanan itu bekas jua bukan ain .
Demikian lagi , tiada batal puasanya sebab mencium bunga atau asap setanggi atau barang sebagainya dan jika sampai bau dan asap itu ke dalam otaknya atau ke dalam perutnya sekalipun kerana bau asap itu bekas jua bukan ain .Kata Syabra Malisi , diambil daripada yang demikian itu bahawasanya tiada batal puasanya dengan sebab menghisap asap tembakau kerana asap tembakau itu bekas jua bukan ain pada uruf seperti asap setanggi . Adalah Syeikh Ziyadi berfatwa ia akan yang demikian itu pada mula-mulanya ,kemudian maka dibawa oleh setengah daripasa segala muridnya Syeikh akan buluh penyedutan tembakau .Maka dipecahnya akan buluh itu di hadapan Syeikh itu dan diperlihatkannya akan dia ain yang beku didalam buluh daripada bekas asap tembakau serta katanya bagi syeikh inilah ain bukan bekas .Maka ruju’lah Syeikh itu daripada fatwanya yang dahulu lalu berkata ia = “ Manakala adalah asap tembakau itu ain , batallah puasanya dengan menghisap ia .” Dibezakan antara asap tembakau dan asap setanggi bahawasanya asap tembakau itu diqasad (dituju atau diniat) dirinya tembakau ,tiada pada baunya dan asap setanggi itu diqasad pada baunya bukan pada dirinya .Demikian lagi ,asap tembakau itu disampaikan ke dalam rongga dengan perbuatan atas kelakuan suatu yang diminum ,maka sampainya ke dalam rongga terbanyak daripada barang yang sampai ia daripada asap setanggi dan adalah asap tembakau yang berhimpun dengan kelakuan yang tersebut itu dibilangkan ain pada uruf.

(Masaalah) Jika seseorang makan sahur atau berbuka puasa dengan ijtihadnya akan keadaan malam ,kemudian maka nyata salahnya seperti bahawa jatuh makannya itu pada siang hari ,maka nyatalah batal puasanya pada dua masaalah itu kerana tiada kebilangan bagi sangka (ظن) yang nyata salahnya .Tetapi jika tiada nyata suatu daripada halnya ,maka sahlah puasanya pada kedua masaalah itu .Inilah hukumnya jika ada ia makan sahur atau berbuka dengan ijtihadnya .Adapun jika ada ia makan sahur atau berbuka puasa dengan tiada ijtihadnya dan tiada nyata halnya siang pada dua masaalah itu ,sahlah puasanya pada masaalah makan sahur kerana yang asal padanya malam jua dan tiada sah puasanya pada masaalah makan berbuka kerana yang asal padanya siang jua tetapi jika nyata salahnya ijtihad pada kedua masaalah itu ,wajiblah atas keduanya qada’ dan jika nyata betulnya ijtihad pada kedua masaalah itu ,maka tiada wajib qada’ . Jika ditanya orang =Telah dahulu perkataan pada syarat sembahyang ,barang siapa sembahyang dengan tiada ijtihad pada menentukan kiblat ,tiada sah sembahyangnya dan jika nyata betulnya sekalipun .Maka apa jua perbezaan antara keduanya (sembahyang dan puasa) . Maka dijawab = Bahawasanya ijtihad pada menentukan kiblat iaitu syak pada wujud syarat sah sembahyang dan yang asal ketiadaan wujud syarat ,maka tiadalah sah sembahyangnya .Pada masaalah puasa ,syak ia pada wujud yang membinasakan puasa dan yang asalnya ketiadaan wujud yang membinasakan puasa,maka sahlah puasanya .
(Masaalah) Jikalau terbit fajar sadiq tatkala ia makan ,maka hendaklah dibuangkannya barang yang ada didalam mulutnya daripada makanan sebelum daripada masuk suatu daripada makanan itu ke dalam rongganya atau kemudian daripada termasuk makan itu dengan tiada ikhtiyarnya kerana jika dikulumnya akan makanan itu lalu termasuk suatu daripada makanannya ke dalam rongganya ,batallah puasanya kerana kecuaiannya sebab mengulum makanan itu .Adalah bandingannya yang demikian itu seperti mengulum ia akan makanan itu pada siang hari dengan disengajanya lalu termasuk sesuatu daripada makanan itu ke dalam rongganya ,batallah puasanya kerana lalainya dengan mengulum makanan itu .Bersalahan jika diperlannya akan makanan yang dikulumnya itu dengan lupanya ,maka tiadalah batal puasanya dengan dia kerana lupanya itu menghilangkan akan lalainya .
(Masaalah) Jikalau terbit fajar sadiq tatkala ia jima’ ,wajib atasnya mengeluarkan zakarnya dengan segera ,maka tiadalah batal puasanya dengan mengeluarkan dia walau inzal sekalipun .kerana bahawasanaya mengeluarkan zakarnya itu meninggalkan jima’ jika diqasadnya dengan mengeluarkan zakarnya itu meninggalkan jima’ . Jika tiada diqasadnya dengan dia meninggalkan jima’ ,nescaya tiada sah puasanya . Demikianlah tersebut didalam tuhfah . Demikian lagi , tiada sah puasanya jika dikekalkannya akan jima’ seperti tiada dikeluarkannya akan zakarnya dengan segera pada ketika terbit fajar . Wajib atasnya kaffarah dari kerana tatkala adalah mengekali jima’ itu menegahkan sah puasa ,adalah ia seolah-olah membatalkan puasanya dengan jima’ .Inilah perintahnya pada yang tahu akan terbit fajar pada ketika permulaan terbitnya .Adapun jika lalu masa kemudian daripada terbit fajar ,kemudian baru tahu ia akan terbit fajar,maka dikekalinya juga akan jima’nya ketika itu ,tiadalah wajib kaffarah atasnya dari kerana puasanya batal dengan jima’ yang dahulu pada ketika jahil ia akan terbit fajar ,tiada batal puasa dengan jima’ yang dikekalinya kemudian daripada tahu ia akan terbit fajar .

3) Orang yang puasa . Bermula syarat sah orang yang puasa itu tiga perkara =

1) Hendaklah ada ia Islam daripada permulaan hari puasanya hingga akhirnya puasa . Maka tiadalah puasa bagi orang kafir dengan barang jenis kafir .Walau begitu mereka akan diseksa di akhirat kelak dengan dua sebab .Pertama kerana kafirnya .Yang kedua kerana tak puasanya kerana ia akan dituntut dan diseksa dalam negeri akhirat . Adapun di dunia tiada disuruh dan dituntut akan dia sebagaimana bab sembahyang ,zakat dan lain-lain .*Peringatan = Haram jual makanan atau beri makanan kepada orang kafir ketika masa berpuasa .Begitu juga kepada orang muslim yang tak berpuasa dengan tiada uzur .Batal puasa orang yang murtad didalam hari puasanya dengan ijma’ .
2) Hendaklah ia berakal daripada fajar hingga datang kepada masuk matahari ..Maka tiadalah sah puasanya yang gila daripada fajar hingga maghrib dan jika mendatang gilanya didalam hari puasanya jikalau sekejap sekalipun ,batallah puasanya . Tiada batal puasanya sebab pitam atau mabuk yang tiada disengajanya jika ia sembuh sekejap sekalipun didalam siang hari . Jika pitam atau mabuk daripada fajar hingga maghrib ,tiadalah sah puasanya kerana pitam dan mabuk itu mengeluarkan ia akan seseorang daripada keadaan ahli taklif .Bersalahan dengan tidur , maka tiada batal puasa yang tidur daripada fajar hingga maghrib kerana kekal keadaannya ahli bagi taklif lagi pula yang tidur itu jika dijagakan ,nescaya jaga ia .Bersalahan dengan yang pitam dan yang mabuk . Demikian lagi ,wajib mengqada’ sembahyang yang luput sebab tidur dan tiada wajib qada’ sembahyang yang luput dengan sebab pitam atau mabuk pada jumlah (umum/kebanyakkan) .
3) Hendaklah ia sunyi daripada haid dan nifas daripada fajar hingga maghrib . Maka tiadalah sah puasa yang haid dan nifas lagi haram .Jika mendatang haid atau nifas didalam hari puasanya ,nescaya batal puasanya .
Bermula syarat sah puasa pada pihak masa ,hendaklah jatuh puasa itu didalam hari yang menerima hari itu bagi puasa iaitu hari yang lain daripada dua hari raya ,tiga hari tashrik ,dan hari syak . Maka haram lagi tiada sah puasa pada hari raya kedua-duanya dan jika puasa fardhu sekalipun kerana ditegahkan Nabi akan puasa pada hari raya kedua-duanya didalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim .Demikian lagi haram lagi tiada sah puasa pada tiga hari tashrik kemudian daripada hari raya korban , jikalau ada puasa itu puasa tamatu’ ganti daripada dam sekalipun kerana ditegahkan puasa pada hari itu didalam hadith riwayat Abu Daud .Demikian lagi , haram lagi tiada sah puasa pada hari syak dengan tiada sebab kerana kata Amar anak Yasir مَنْ صَامَ يَوْمَ شَكِّ فَقَدْ عَصَى أباالقاسِمِ صلى الله عليه وسلم ya’ni barang siapa puasa pada hari syak , maka bahawasanya derhakalah ia akan nabi صلى الله عليه وسلم ,yang meriwayatkan akan dia oleh tirmizi dan lainnya dan kata mereka iaitu sahih . Adapun jika ada puasa itu dengan sebab seperti qada’ dan nazar dan wirid ,maka sahlah puasanya lagi tiada haram melainkan jika disengajanya menjatuhkan puasa didalam waktu syak itu ,maka iaitu haram lagi tiada sah seperti sembahyang didalam waktu karahah kerana sabda nabi صلى الله عليه وسلم ( لاتُقَدِّمُوا رمضانَ بصومِ يومٍ أو يَومَيْنِ اِلاَّ رجلٌ كان يصومُ صومًا فَلْيَصُمْهُ) ya’ni jangan kamu mendahulukan ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari melainkan laki-laki yang ada ia puasa wirid ,maka hendaklah dipuasakannya , riwayat Bukhari dan Muslim ya’ni seperti adalah ia beradat puasa sepanjang-panjang tahun atau puasa sehari dan berbuka sehari dan diqiyaskan dengan puasa wirid itu dengan yang lainnya seperti qada’ ,nazar atau kaffarah . Bermula hari syak itu iaitu diharamkan puasa didalamnya dengan dua sebab .Pertama keadaannya hari syak .Kedua , keadaannya hari didalam nisfu yang kedua daripada bulan syaaban . Maka hari syak itu iaitu hari ketiga puluh daripada bulan syaaban ,apabila berkhabar-khabar manusia dengan melihat bulan ramadhan dan tiada naik saksi seorang jua pun pada melihatnya (Cuma cakap di kedai kopi misalan) atau naik saksi segala mereka yang tiada diterima saksinya mereka seperti keadaan mereka itu kanak-kanak atau sahaya atau fasik atau perempuan . Adapun jika tiada berkhabar-khabar manusia pada melihat anak bulan dan tiada naik saksi seorang jua pun ,maka tiadalah hari itu hari syak ,hanya adalah ia daripada bulan syaaban ,maka tiadalah haram puasa didalamnya daripada pihak hari syak tetapi haram puasa pada pihak keadaannya daripada nisfu yang kedua daripada bulan syaaban .
Demikian lagi , haram puasa pada nisfu yang kedua daripada bulan syaaban iaitu daripada hari yang keenam belas hingga akhir bulan syaaban kerana sabda Nabi صلى الله عليه وسلم (اذا انْتَصَفَ شَعْبانُ فلا تَصُومُوا ) ya’ni apabila bertengahlah bulan syaaban ,maka janganlah kamu puasa melainkan puasa wirid seperti beradat ia puasa sentiasa atau berselang-selang hari atau puasa isnin dan khamis atau puasa qada’ atau nazar atau kaffarah atau dihubungkannya puasa pada nisfu yang kedua dengan nisfu yang pertama seperti dipuasakannya pada hari yang kelima belas dan hari yang keenam belas ,maka haruslah ia puasa pada nisfu yang kedua daripada bulan syaaban kerana sekalian yang tersebut itu . Jikalau puasa ia pada hari yang kelima belas dan yang keenam belas ,kemudian berbuka ia pada hari yang ketujuh belas ,nescaya haramlah atasnya puasa pada hari yang kelapan belas dengan tiada suatu sebab yang telah tersebut itu kerana hilang berhubung yang mengharuskan bagi puasa pada hari itu . Wallahualam .


Respon

  1. APA HUKUMNYA BILA SAYA BERPUASA TIAP HARI, KECUALI KALAU SAYA SEDANG DATANG BULAN

    • sunat sebagaimana puasa nabi daud.tetapi sekiranya berlaku mudhorat keatas diri kita,maka jadilah haram

  2. peringatan sebenarnya puasa Nabi Daud AS. sehari puasa sehari tidak. bukan setiap hari.

    kemuslilan: Setahu saya tidak batal puasa seseeorang jika dia terlupa makan, sedikit atau sampai kenyang. dan sesudah itu baru dia teringat dia puasa.

    tapi ada seorang ustaz menyatakan bahawa terlupa makan itu sah puasa selagi tidak sampai kenyang.

    tolong beri penjelasan

    • sama ada kenyang atau tiada maka sah selagi terlupa .wallahualam.tolong checkkan nabi mana yg puasa setiap hari.

  3. Puasa Nabi Daud a.s. ialah puasa sehari dan berbuka sehari dengan mengecualikan hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Dzul-Hijjah). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud”.

    Dan puasa yang dilakukan oleh seseorang setiap hari berturut-turut disebut puasa dahr, puasa seperti ini hukumnya makruh.

    Setahu ana tiada seorang nabi pun yang puasa hari-hari. Hal ini berdasarkan pada sabda Rasulullah s.a.w berikut ini : لاَ صَامَ مَنْ صَامَ الأَبَدَ“Tidaklah dikatakan berpuasa orang yang berpuasa sepanjang masa (terus-menerus).” (HR. Bukhari dan Muslim)

    Minta tolong ustaz perjelaskan nabi yang mana melakukan puasa hari-hari itu. Adapun kenyataan ustaz berkenaan dengan Nabi Daud AS puasa hari-hari itu ternyata tersasar. Wallahuaklam…

    • alhamdulillah terimakasih kerana ingatkan saya.saya hampir lupa nk bgtahu nabi mana kerana kesibukkan program2 disini. cuba lihat dalam kitab النصائح الدينيه pada bab puasa sana ..puasa yg dikatakan selama-lamanya iaitu puasa nabi noh صام نوح الدهر وصام داودنصف الدهركان يصوم يوماويفطريوماوصام ابراهيم الدهر وأفطر الدهر كان يصوم ثلاثة من كل شهر riwayat thobarani dan aibaihaqi .cuba lihat pada komen tu janganlah cepat kata tersasar .kan saya kata pada salah satu komenter yg saya tersilap sebab saya berada di luar dan jiklalau dia tahu siapa yg puasa setahun tu tolong bagitahu yg akhirnya saya sendiri pun lupa .Cuba beradab apabila nk berkomen .terimakasih .wallahualam


Tinggalkan Jawapan kepada singalaka Batal balasan

Kategori