Posted by: singalaka | September 7, 2009

Hukum Tayamum

            Syarat Tayamum  ada 6 perkara

1)                  Yakin uzur dengan sebab safar (musafir) atau sakit .

2)                  Masuk waktu sembahyang dengan yakin . Tidak sah bagi orang yang syak dan jika berbetulan masuk waktu sekalipun .

3)                  Mencari air pada tempat duduknya dan pada kawan-kawannya yang bersamanya .Maka jika tiada dapat ,hendaklah mencari pada pihak kelilingnya dengan dilihat . Jika dirasanya ada air pada satu sudut , hendaklah ia pergi kepada tempat yang dirasakan itu sekira-kira kadar sampai anak panah apabila dilepaskan dari busurnya ya`ni jika hasil sesuatu ,sampai suara teriaknya kepada taulannya serta mereka itu didalam hingar bangar . Maka jika tiada , hendaklah ia tayamum .

4)                  Uzur memakai air dengan bahawa takut daripada memakainya atas hilang dirinya (mati) atau takut hilang manfaat anggotanya (jadi kebas misalan). Termasuk juga kata uzur ,apabila ada air pada hampirnya walhal takut ia mudhorat atas dirinya daripada binatang buas atau seteru (musuh) atau takut ia mudhorot atas hartanya daripada pencuri atau penyamun atau bercerai daripada kawannya , jika ia pergi pada air itu ,maka hendaklah ia tayamum pada segala yang tersebut itu .

5)                  Berhajat ia kepada air ,kemudian daripada dituntuti akan air ,kerana dahaga binatang yang dihormati seperti kerana meminum bagi dirinya atau binatangnya dan jika hajatnya yang tersebut pada masa yang lagi akan datang sekalipun , maka wajib ia tayamum serta ada air itu .Catatan: Adapun orang yang tak sembahyang atau orang yang zina muhsan (yang sudah pernah bernikah) maka tidak diharuskan memberi air kepadanya sedangkan kita bertayamum kerana mereka dikatakan tidak dihormati darahnya . Begitu juga sekiranya kita ada anjing yang dihormati seperti anjing yang kita buat perburuan dan mempunyai seorang yang tidak sembahyang walhal kita hanya ada segelas air untuk salah satunya ,maka hendaklah didahulukan pada anjing yang tersebut .Begitulah hinanya bagi orang yang tidak sembahyang .

6)                  Tanah yang suci lagi tiada musta`mal (belum digunakan mengangkat fardhu) yang ada baginya debu .Termasuk kata tanah itu segala bagainya jika tanah ubat sekalipun seperti batu qawi apabila ditumbukkan dia dan yang dibakar daripadanya selama tiada jadi abu .Tiada sah tayamum dengan tanah yang bercampur tepung dan kapur dan umpamanya dan jika sedikit bercampur sekalipun kerana takut ada sebahagian daripada juzu`-juzu` anggota kita tidak terkena debu tanah tersebut .

            Fardhu Tayamum ada 5 perkara     

1)                Niat ya`ni niat mengharuskan sembahyang atau tawaf atau menyentuh Mashaf (Alquran)  dan umpamanya seperti diniatnya  نويتُ التيممِ لاِ سْتِباحةِفرضِ الصلاة sahaja aku tayamum kerana mengharuskan fardhu sembahyang atau نويتُ التيممِ لاِ سْتِباحةِ الصلاة sahaja aku tayamum kerana mengharuskan sembahyang . Maka pada niat yang pertama disembahyang dengan dia akan satu fardhu dan beberapa banyak sunat . Pada niat yang kedua disembahyang dengan dia akan sembahyang sunat sahaja , tiada fardhu kerana tiada menyebut fardhu pada niat . Maka Khutbah Jumaat seperti hukum fardhu . Bersalahan sembahyang jenazah seperti hukum sembahyang sunat .Maka diqiyaskan niat menyentuh Mashaf dan tawaf dengan mengharuskan keduanya.

2)                Memindahkan tanah kepada anggotanya .Jika ditahankan tangannya akan debu yang dibawa oleh angin dan disapukan mukanya ,nescaya memadai . Bersalahan menghantarkan muka pada hawa supaya debu yang ditiup angin melekat pada mukanya , maka tiada memadai kerana tiada berlaku pindahan daripada tangan . Wajib disertakan niat tayamum yang tersebut pada masa nak letak debu tanah itu pada muka dan kekalkan niatnya hingga menyapu satu suku daripada mukanya . Jika berhadath ia (buat sesuatu yang membatalkan wudhu atau tayamum seperti terkentut misalan) kemudian daripada memindah tanah , nescaya harus menyapu dengan tanah itu dengan dibaharukan niat yang lain pula sebelum daripada menyapunya .

3)                Menyapu muka sebagaimana dalam wudhu`.

4)                Menyapu dua tangan serta dua sikunya denga dua kali pukul . Sekali kerana menyapukan mukanya dan sekali kerana menyapukan kedua tangannya. Tiada tertentu menepuk ke tanah bahkan jika dihantarkan tangannya atas tanah yang halus debunya dan melekat debu itu dengan tangannya dengan ketiadaan dipukul , nescaya memadai .

5)                Tertib . Maka wajib didahulukan menyapu muka atas menyapu dua tangannya samada tayamum daripada hadath kecil atau hadath besar atau daripada mandi sunat dan lainnya .

  Sunat Tayamum itu beberapa perkara

1)                Mengucap Basmallah tatkala mula meletakkan tangan pada debu .

2)                Menyapu muka dari pihak atas ke bawah .

3)                Mendahulukan menyapu tangan kanan atas yang kirinya .

4)                Menyedikitkan debunya seperti dipukulkan dua tepi tangannya atau ditiup .

5)                Menjarangkan anak jarinya .

6)                Menyelat-nyelati akan anak jarinya jika sudah sampai debu antara anak jarinya .Maka jikalau tiada sampai ,maka wajib menyelatinya .

7)                Jangan diangkatkan tangannya daripada anggotanya ketika sapu hingga sempurnakan sapunya .

8)                Menghadapkan kiblat .

9)                Memanjangkan غره  (yang lebih daripada yang wajib daripada mukanya )

10)            Memanjangkan تحجيل ( yang lebih daripada yang wajib daripada dua tangannya)

11)            Menanggalkan cincin pada hantaran yang pertama kepada tanah dan wajib ditanggalkan cincin pada hantaran yang kedua jika tiada sampai debu dibawah cincin .Jika sampai ,maka sunat .

12)            Membaca doa yang kemudian daripada wudhu` .Tiada sunat mengulangi sapunya lebih daripada sekali jua .

Inilah beberapa sunat pada Tayamum .

  Membatalkan Tayamum ada 3 perkara

1)              Segala perkara yang membatalkan wudhu` seperti keluar sesuatu daripada dua jalan (qubul dan dubur) .Tidur di atas kelakuan yang tidak tetap papan punggungnya .Hilang akal seperti sangat sakit atau gila atau mabuk atau pitam atau gila babi atau lainnya .menyentuh lelaki akan perempuan dengan tiada berlapik yang bukan mahramnya .Menyentuh faraj anak adam samada sendiri punya atau orang lain punya .Maka manakala tayamum seorang , kemudian berhadath ia ,nescaya batallah tayamumnya yang ada ia daripada hadath kecil .Adapun hadath besar ,tiada batal tayamumnya

2)              Mengetahui akan ada air dan jika sedikit sekalipun hingga jika berkata seorang bagi perhimpunan orang tayamum , “Aku mengharuskan kamu air ini.” padahal memadai air itu bagi seorang sahaja , nescaya batal tayamum sekaliannya .Maka setengah daripada waham (sangkaan ada air) itu , melihat akan kedatangan Kafilah  (puak) atau awan yang tebal pada hampirnya atau alang-alang (tempat jalan raya ,kita nampak gelombang macam air ketika panas) dan lainnya daripada barang yang di waham ada air sertanya ,pada hal tayamumnya sebab ketiadaan air ,nescaya batal tayamumnya jika ada waham itu sebelum daripada masuknya seseorang yang nak sembahyang itu ,pada sembahyang ,dengan bahawa ada waham itu sebelum daripada Ra` akbar atau sertanya Ra` akbar .Sekiranya selepas Ra` akbar ,maka tiada batal tayamumnya . Bersalahan jika diketahui akan ada air kemudian daripada masuknya sembahyang dan adalah sembahyang itu daripada barang yang tiada gugur fardhunya dengan tayamum seperti sembahyang pada tempat yang kebiasaannya ada air (dalam setahun ada air pada tempat itu melebihi 6 bulan) padanya , nescaya batal sembahyangnya pada ketika itu jua . Bersalahan pula , jika sembahyangnya itu daripada barang yang gugur fardhunya dengan tayamum seperti sembahyang ia pada tempat yang kebiasaanya tak ada air (dalam setahun tak ada air pada tempat itu melebihi 6 bulan ) atau bersamaan ada dan tak ada ,maka tiada batal sembahyangnya samada fardhu atau sunat . Jika tayamum seseorang kerana sakit dan umpamanya kemudian diketahuinya ada air ,tiada batal tayamumnya kerana ia tayamum bukan kerana tiada air .Tetapi jika sebab sembuh sakitnya ketika sembahyang ,maka batal tayamumnya .

3)              Murtad .Nauzubillahiminzalik …

Maka jika takut seseorang daripada memakai pada setengah daripada tubuhnya , misalan  kerana ada luka , samada pada anggota tayamum atau lainnya daripada anggota wudhu` (kepala dan kaki) , maka wajiblah dibasuhnya akan segala anggota yang sihat dan bertayamum ganti daripada anggota yang lukanya itu .

Kaifiat : Jka ada ia orang yang junub , didahulukan barang kehendaknya , samada hendak tayamum dahulu atau membasuh dahulu ,nescaya harus baginya .Jika ia orang yang berhadath kecil , hendaklah ia tayamum waktu membasuh anggota lukanya itu , ganti bagi bahagian yang tak terkena air ya`ni pada tempat lukanya . Adapun di tebing-tebing (tepi-tepi yang berdekatan) luka itu cara nak membasuhinya , kita ambil kain dan basahinya kain itu ,lalu lalukan kain itu pada tebing-tebing itu . Tiada tertib bagi kaifiat ini ,samada nak dahulukan membasuh pada anggota luka itu atau dahulukan tayamum ganti bagi tempat anggota luka itu .Walau begitu ,wajib tertib dengan anggota yang lainnya misalnya ada lukanya pada tangan ,maka wajib dibasuhkan mukanya dahulu , kemudian ia tayamum bagi ganti tempat luka itu atau dibasuh akan segala anggota yang baik  yang ada pada anggota luka itu , kemudaian ia tayamum ,nescaya harus kerana satu anggotanya iaitu tangan .Maka tiada boleh ia tayamum ganti bagi luka tangannya itu hingga sudah membasuh mukanya dahulu .

Jikalau ada atas tempat luka itu balut atau blat ( letak kayu sambung tulang atau simen) atau tampal yang tiada boleh ditanggalkan daripadanya ,maka hendaklah membasuh akan anggotanya yang baik ,kemudian disapu air atasnya .Selepas itu ditayamum akan ganti barang yang tiada sampai air yang dibawahnya ya`ni tayamum pada mukanya dan dua tangannya .Peringatan : Wajib qada` jika ada balut itu atau umpamanya pada anggota tayamum mutlak (samada kita sudah angkat wudhu` sebelum balut atau tiada ) .

Maka jika ada balut itu pada bukan anggota tayamum seperti pada kakinya yang tempat wajib basuh pada wudhu` , walhal dihantarkan balut itu dengan hal keadaan berhadath , nescaya wajib qada` .Demikian lagi jika dihantarkan balut itu hal keadaan ia berwudhu` tetapi ada pada tempat itu najis yang tiada dimaafkan , nescaya wajib qada` juga . Begitu juga jika dihantarkan balut itu hal keadaan ia berwudhu` dan tiada ada najis yang tiada dimaafkan dibawahnya tetapi banyak anggota yang sahih (sihat) dibawah balut itu , yang lebih daripada kadar hajat memakai dia , nescaya wajib qada` .Adapun jka kadar hajat ,tiada yang lainnya ,maka tiada wajib qada` atasnya .

Maka Berbilang-bilanglah tayamum dengan sebab berbilang-bilang anggota yang sakit .Maka apabila tertegah memakai air pada dua anggota , maka wajib dua tayamum . Jika pada tiga anggota ,maka wajib tiga tayamum .Jika pada empat anggota ,maka wajib empat tayamum jika melengkapi sakit itu akan sekalian kepala . Jika tiada melengkapi , maka wajib tiga tayamum kerana bahawasanya kepala itu ,memadai menyapu pada tempat yang sahih (yang tak berbalut) daripadanya . Jika melengkapi sakit itu pada anggota yang empat ,maka wajib satu tayamum jua ganti daripada wudhu` kerana gugur tertib .Jika melengkapi sakit itu akan tiga anggota yang lain daripada kepala , nescaya wajib dua tayamum . Satu tayamum ganti daripada muka dan dua tangan kerana gugur wajib membasuh keduanya yang menghendaki ia bagi gugur tertib keduanya .Selepas itu, wajib menyapu air pada setengah kepalanya ,kemudian daripada tayamum yang pertama tadi . Satu tayamum yang lain pula ganti daripada dua kaki .Maka selesailah…

Wajib tayamum bagi tiap-tiap fardhu dan sembahyang yang dinazarkan dia . Maka tiada harus dihimpunkan dua sembahyang fardhu dengan tayamum yang satu . Tiada harus pula dihimpunkan pada dua tawaf fardhu (tawaf nazar dan tawaf haji misalan)  . Begitu juga tiada harus dihimpunkan pada sembahyang dan tawaf yang fardhu keduanya . Tiada juga dihimpunkan pada sembahyang Jumaat dan khutbahnya . Tetapi harus baginya dihimpunkan akan sembahyang fardhu dan mua`ddah (sembahyang yang diulang kepada yang lebih baik) dengan tayamum yang satu .Demikian lagi harus , satu fardhu dan beberapa sunat .Wallahualam .

Posted by: singalaka | September 7, 2009

Mendapatkan Lailatul Qadar

ليلة القدر خير من الف شهر

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Pada sepuluh yang akhir bulan ramadan kita digalakkan beriktikaf di masjid supaya mendapat malam Lailatul-Qadar.

Mengikut pendapat Imam Syafie malam Lailatul-Qadar boleh ditemui pada sepuluh yang akhir, tetapi malam yang ganjil terlebih diharapkan. Malam yang terlebih diharapkan daripada sekelian malam ganjil ialah malam dua puluh satu dan malam dua puluh tiga bulan Ramadan.

Imam Gazali dan lainnya ada menyebut bahawa malam Lailatul-Qadar boleh diketahui dengan meneliti satu hari bulan jatuh pada hari apa? Sekiranya satu hari bulan pada hari ahad atau hari rabu maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh sembilan.

Sekiranya satu hari bulan hari isnin maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh satu.

Sekiranya satu hari bulan pada hari selasa atau jumaat maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh tujuh.

Sekiranya satu hari bulan pada hari khamis maka Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh lima.

Sekiranya satu hari bulan hari sabtu maka Lailatul-Qadar malam yang ke dua puluh tiga.

Berkata Syeikh Abu Hasan Syazili selama baligh aku, aku tiada luput malam Lailatul-Qadar dengan menguna kaedah (cara) ini

Lihat jadual dibawah ini:

No Awal bulan hari Lailatul-Qadar pada malam
1 Ahad 29
2 Isnin 21
3 Selasa 27
4 Rabu 29
5 Khamis 25
6 Jumat 27
7 Sabtu 23

 

Seorang yang dapat berbuat ibadat pada malam Lailatul-Qadar seolah-olah dia sentiasa beribadat selama lapan puluh tiga tahun. Orang yang menghidupkan malam Lailatul-Qadar diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.Diampunkan dosa disini ialah dosa-dosa kecil .Adapun dosa-dosa besar perlu kepada taubat Nasuha .Telah Ijma` Ulama` tidak akn diampunkan dosa-daosa beasar tanpa bertaubat .Ambillah peluan pada Ramadhan ini deng menitis air mata pada Allah dengan memohonkan keampunan padanya 

Mertabat yang paling tinggi menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan pelbagai ibadat sepanjang malam, seperti sembahyang, membaca Al-Quran dan berdo’a.

Mertabat pertengahan menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan menghidup separuh malam dengan pelbagai ibadat.

Mertabat yang paling rendah menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan sembahyang isyak berjemaah, dan azam hendak sembahyang subuh berjemaah.

Fadilat malam Lailatul-Qadar tidak tertentu pada mereka yang mengetahuinya ya`ni yang tahu dapat malam lailatul qadar tetapi hasil fadilat malam Lailatul-Qadar bagi mereka yang menghidupkannya walaupun mereka itu tidak mengetahui malam itu malam Lailatul-Qadar.

Jika penentuan Lailatul Qadar dikekalkan sebagaimana hari yang rasullullah menjumapainya ,nescaya banyak jiwa-jiwa yang cuai ,tidak akan mengambil berat langsung untuk beribadat pada malam yang lain (selain dari malam yang telah ditentukan) .Dalam keadaan sekarang (di mana Lailatul qadar tidak diketahui penentuannya ) ramai yang ada keinginan untuk beribadat akan mendapat taufiq untuk berjaga beribadat ,dengan anggapan mungkin malam inilah malam Lailatul Qadar .

A`isyah rha berkata “ Ya rasullullah ! Beritahulah kepada saya sekiranya saya tahu malam lailatul qadar apakah doa yang sepatutnya saya pohon ? Baginda s.a.w bersabda

“Katakanlah : اَلَّلهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ اْلعَفْوَ فَاعْفُ عَنيِّ “Ya Allah ,sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Engkau sukakan pengampunan ,Maka ampunilah aku .”

Apabila berlaku Lalatul Qadar ,Allah taala akan memerintahkan Jibrail a.s supaya turun bersama satu kumpulan Malaikat .Bersama mereka terdapat bendera hijau .Dia akan memacak bendera itu di atas Ka`bah .Jibrail a.s mempunyai seratus sayap .Di antaranya terdapat dua sayap yang tidak dibuka kecuali pada malam itu sahaja .Lalu dia membuka keduanya pada malam itu sehingga keduanya akan menutup dari timur ke barat . Kemudian pada malam tersebut Jibrail a.s akan mendorong malaikat-malaikat sehingga mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk , bersolat atau berzikir . Malaikat –malaikat itu akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar .Apabila terbit fajar ,Jibrail a.s akan menyeru segala Malaikat  , “Sekarang berangkatlah !” Malaikat-malaikat itu pun akan bertanya , “Wahai Jibrail apakah yang Allah taala telah lakukan terhadap keperluan-leperluan orang-orang yang beriman dari umat Muhammad s.a.w .” Dia akan menjawab , “Allah taala telah memerhatikan mereka pada malam ini lalu telah mengampunkan mereka kecuali empat jenis manusia . Maka bertanya sahabat kepada Nabi “Siapakah mereka ya rasullullah ?” Baginda bersabda , “Lelaki yang berterusan meminum arak , yang menderhakai kedua ibu bapanya ,yang memutuskan silaturrahim dan musyahin .” Sahabat bertanya lagi , “Siapakah musyahin itu ?” Baginda menjawab , “Dia adalah orang yang memutuskan perhubungan keluarga .”  Maka sama-samalah kita panjatkan doa ,memohon kepada Allah supaya memberi taufiq pada kita , untuk berebut malam Lailtul Qadar ini .Wallahualam .

Posted by: singalaka | September 6, 2009

Diriku

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الإسلام سيدنا محمد وآله وأصحابه الكرام        

Segala puji bagi Alah ,yang mentadbirkan sekalian alam ini solawat dan salam kepada junjungan besar nabi kita Sayidina Muhammad s.a.w dan ahlinya , begitu juga sahabat-sahabatnya .  

                 Saya Lahir di Tebong Melaka pada 30.07.1975 .Saya mempunyai seorang isteri dan empat orang anak ,tiga lelaki satu perempuan .Sebelah nenek berketurunan Pepatih Adat tiga batu di Alor Gajah Kelemak . Sebelah Datuk pula berketurunan Palembang di Nyalas Melaka . Lepas 3 bulan lebih kurang saya lahir ,Ayah saya yang merupakan rakyat Singapura , membawa saya pulang ke rumah di negeri Singapura yang bertempatan di kampung West Coast .Selang beberapa tahun kemudian kami sekeluarga berpindah ke Clementi Ave 2. Di Clementi inilah meninggalkan banyak kenangan manis yang tak mungkin saya dapat lupakan .Saya mempunyai 7 orang adik beradik dan saya merupakan yang keenam .Ada yang seibu ,ada yang seayah, ada yang seibu seayah. Seorang kakak saya berada di Sarawak Bintulu dan seorang abang saya berada di Kulim Kedah dan yang lain, dua abang satu kakak dan satu adik ,berada di Singapura. Tahun 2000 saya pun berhijrah ke Malaysia seorang diri mencari sesuatu yang dituntuti oleh illahi . Saya pun duduk di Pondok Darul Atiq hanya beberapa bulan .Lepas itu saya pindah ke pondok Pasir Tumbuh Terusan Limbat sehinggalah sekarang .Sekarang ni saya merupakan salah seorang tenaga pengajar di Pondok ini .Saya bertariqat Naqsyabandi Khalidi , Naqsyabandi Mujaddidi dan Qadriah yang ditalkin oleh Tuan Guru Jahid Sidek yang duduk di Kuang Kuala Lumpur dan Tuan Guru Haji Hashim ,yang merupakan Mudir Pondok Pasir Tumbuh dan Syeikh Affifuddin yang berasal dari Iraq yang sekarang ini juga menetap di Kuala Lumpur . Demi rasa syukur saya kepada Allah begitu juga sahabat-sahabat dan guru-guru yang lain ,sanggup mengajar di pondok ini walau tidak diberi gaji .Hanya bermajikan Allah . Ada juga hamba-hamba yang ikhlas sentiasa memberi sumbangan terhadap kami ,yang kami sentiasa terharu atas sumbangan itu . Semuga Allah sahaja yang membalasnya .Akhir kalam pada yang diluar sana, sentiasalah mendoakan kami supaya diberi kekuatan oleh Allah ,untuk sentiasa menabur bakti ,kepada semua lapisan Masyarakat dengan ilmu yang sedikit,  yang ada pada kami ni. Oh ya ,dinamakan Blog ini Singalaka kerana gabungan dua Negeri iaitu Singapura dan Melaka .Wallahualam.

Posted by: singalaka | September 5, 2009

Hikmah

 

blank

jika seseorang menyakiti kita,

tulislah tentang kesakitannya di atas pasir,

supaya tiupan angin kemaafan bisa memadamkan keperitannya…

tetapi, jika seseorang berbuat baik kepada kita,

ukirlah tentang kemanisannya di dalam hati,

supaya tiada apa yang bisa menghapuskannya .

Posted by: singalaka | September 5, 2009

Wahai Singapura

Semakin hari semakin rasa diriku ini ,

jauh daripada masyarakat,seolah-olah diriku ini tiada apa-apa

di mata mereka .

Dulu ku akui ,ku punyai segala-galanya

yang menjadikan diriku ,perhatian manusiawi.

selama beberapa tahun hidup ku ini ,ku berkorban segalanya

untuk sanak saudara ,keluarga dan sahabat handai .

Betapa dalamnya kasihku kepada mereka ,yang tahu ,

hanya tuhan yang esa.

tapi sayang sekali ,setelah ku pilih jalan yang redup di

sisi mata dunia ,

maka aku disisihkan

Apakah perlu aku kembali kepada kehidupan ku yang lama ,

hanya semata-mata untuk raikan kasih sayang mereka kembali?

Tidak mungkin sekali-kali  !

biarlah mereka menimbang dan mengukur diri mereka sendiri ,

apakah patut mereka menyombongkan diri,

setelah aku pilih jalan ini .

Biarlah ku hilang kasih sayang orang yang sangat ku sayangi ,

asalkan ku tidak hilang kasih sayang illahi

Di suatu masa,

ku terkenangkan akan orang yang banyak berjasa kepadaku ,

                         mana yang sudah pergi menyambut seruan illahi

mana yang masih terus menghirup udara yang fana` ini.

Wahai kenalan ku di SINGAPURA INI ,

Ku amat banyak terhutang budi kepadamu

yang taklah dapat aku menyebut nama satu persatu .

Walau ketika ku senang atau ketika ku susah ,

walau ketika ku duka atau ketika ku bahagia ,

kalian tetap jua bersamaku

Budi kalian akan tetap ku kenangi selalu ,

Agar ku tidak lupa siapa diriku ! 

   

Posted by: singalaka | September 5, 2009

Siksa orang yang meninggalkan sembahyang

1)        Siksaan Di Dunia

  1.       Allah taala mengurangkan berkat umurnya .Dengan makna selama hidupnya sentiasa ia merasa duka cita , malang dan seumpamanya.
  2.      Allah taala tidak mempermudahkan rezekinya di dunia .Dengan makna sentiasa merasa tak cukup dengan apa yang ada.
  3.       Allah taala menghilangkan tanda atau cahaya soleh di wajahnya . Wajahnya akan dilihat kusam dan dibenci orang .Bagi orang yang sembahyang walau ia berkulit gelap sekalipun ,masih dapat dilihat cahaya nur di wajahnya.
  4.        Ia tidak mempunyai tempat dalam Islam .Ia dikatakan orang Fasik , munafik .Setengah sahabat Rasullullah saw menghukumkan Kufur .
  5.         Allah taala tak terima doanya .Jangankan doa orang yang tak sembahyang ,sekiranya kita adalah orang yang sembahyang tetapi orang yang dibawah tanggungan kita tak sembahyang ,itupun doa kita tak dikabul oleh Allah taala.Ini yang selalu kita terlepas pandang terhadap anak-anak kita yang tak sembahyang .Nabi suruh kita menyuruh anak kita sembahyang ketika umurnya 7 tahun dan dirotan akan dia sekiranya ia masih tak sembahyang ketika ia berumur 10 tahun .Ada kita buat?

2)       Siksaan ketika menghadapi maut

  1.        Mati dalam keadaan sangat hina .nauzubillahiminzalik .
  2.       Mati dalam keadaan sangat lapar.Samada tiada makanan atau makan tapi tiada mencukupi walau diberi dengan banyaknya.
  3.         Mati dalam keaaan sangat dahaga walaupun diberi minum dengan banyaknya .Ketika inilah Syaitan akan datang menemuinya dengan menyamar bagai-bagai rupa dengan membawa segelas air dan menyeru kepada kekufuran .

3)       Siksaan ketika dalam kubur

  1.        Allah taala akan menyempitkan kuburnya dengan sesempit-sempitnya sehingga Fatimah Azzahra rha ketika nak dibawa masuk kedalam kubur maka tanah itu pun berkata aku tidak mengenal siapa yang memasuki akan daku sekiranya ia golongan yang baik maka selamatlah ia dari azabku.Bayangkanlah itu anaknya Nabi kita . Kita?     
  2.        Allah taala akan menggelapkan kuburnya .Gelap-gelap ni suatu yang dibenci.Kalau sementara takpe tetapi sehingga hari kiamat .
  3.         Allah taala akan menyiksanya hingga hari kiamat .Tidak ada contoh siksa dunia bagi siksa dalam kubur kerana terlalu siksanya yang tiada terperi .

4)       Siksaan ketika bertemu Allah

  1.       Di hari kiamat ,ia akan dibelenggu oleh Malaikat .
  2.      Allah taala tidak akan memandangnya dengan pandangan belas kasihan
  3.      Allah taala tidak akan mengampunkan dosa-dosanya sebaliknya ia akan diazab di dalam Neraka dengan azab yang amat pedih .

Dosa dan balasan meninggalkan sembahyang lima waktu

    

     Subuh  :    Sekali meninggalkannya ,dimasukkan ke neraka selama 30 tahun masa  akhirat .Adapun nisbah sehari akhirat ,seribu tahun di dunia jadi  jumlahnya 30 ribu tahun diazabkan dalam neraka.

    Dzuhur :    Sekali meninggalkannya ,dosanya seperti membunuh 1 ribu orang umat Islam .

   Asar      :    Sekali meninggalkannya ,dosanya seperti meruntuhkan Baitullah .

   Maghrib:   Sekali meninggalkannya ,dosanya seperti berzina dengan ibu sendiri .

  Isya`       :   Sekali meninggalkannya , Allah taala tidak redha dengannya tinggal di buminya dengan berbumbungkan langit serta makan dan minum dari nikmatnya . 

 

« Newer Posts

Kategori