Posted by: singalaka | September 7, 2009

Hukum Tayamum

            Syarat Tayamum  ada 6 perkara

1)                  Yakin uzur dengan sebab safar (musafir) atau sakit .

2)                  Masuk waktu sembahyang dengan yakin . Tidak sah bagi orang yang syak dan jika berbetulan masuk waktu sekalipun .

3)                  Mencari air pada tempat duduknya dan pada kawan-kawannya yang bersamanya .Maka jika tiada dapat ,hendaklah mencari pada pihak kelilingnya dengan dilihat . Jika dirasanya ada air pada satu sudut , hendaklah ia pergi kepada tempat yang dirasakan itu sekira-kira kadar sampai anak panah apabila dilepaskan dari busurnya ya`ni jika hasil sesuatu ,sampai suara teriaknya kepada taulannya serta mereka itu didalam hingar bangar . Maka jika tiada , hendaklah ia tayamum .

4)                  Uzur memakai air dengan bahawa takut daripada memakainya atas hilang dirinya (mati) atau takut hilang manfaat anggotanya (jadi kebas misalan). Termasuk juga kata uzur ,apabila ada air pada hampirnya walhal takut ia mudhorat atas dirinya daripada binatang buas atau seteru (musuh) atau takut ia mudhorot atas hartanya daripada pencuri atau penyamun atau bercerai daripada kawannya , jika ia pergi pada air itu ,maka hendaklah ia tayamum pada segala yang tersebut itu .

5)                  Berhajat ia kepada air ,kemudian daripada dituntuti akan air ,kerana dahaga binatang yang dihormati seperti kerana meminum bagi dirinya atau binatangnya dan jika hajatnya yang tersebut pada masa yang lagi akan datang sekalipun , maka wajib ia tayamum serta ada air itu .Catatan: Adapun orang yang tak sembahyang atau orang yang zina muhsan (yang sudah pernah bernikah) maka tidak diharuskan memberi air kepadanya sedangkan kita bertayamum kerana mereka dikatakan tidak dihormati darahnya . Begitu juga sekiranya kita ada anjing yang dihormati seperti anjing yang kita buat perburuan dan mempunyai seorang yang tidak sembahyang walhal kita hanya ada segelas air untuk salah satunya ,maka hendaklah didahulukan pada anjing yang tersebut .Begitulah hinanya bagi orang yang tidak sembahyang .

6)                  Tanah yang suci lagi tiada musta`mal (belum digunakan mengangkat fardhu) yang ada baginya debu .Termasuk kata tanah itu segala bagainya jika tanah ubat sekalipun seperti batu qawi apabila ditumbukkan dia dan yang dibakar daripadanya selama tiada jadi abu .Tiada sah tayamum dengan tanah yang bercampur tepung dan kapur dan umpamanya dan jika sedikit bercampur sekalipun kerana takut ada sebahagian daripada juzu`-juzu` anggota kita tidak terkena debu tanah tersebut .

            Fardhu Tayamum ada 5 perkara     

1)                Niat ya`ni niat mengharuskan sembahyang atau tawaf atau menyentuh Mashaf (Alquran)  dan umpamanya seperti diniatnya  نويتُ التيممِ لاِ سْتِباحةِفرضِ الصلاة sahaja aku tayamum kerana mengharuskan fardhu sembahyang atau نويتُ التيممِ لاِ سْتِباحةِ الصلاة sahaja aku tayamum kerana mengharuskan sembahyang . Maka pada niat yang pertama disembahyang dengan dia akan satu fardhu dan beberapa banyak sunat . Pada niat yang kedua disembahyang dengan dia akan sembahyang sunat sahaja , tiada fardhu kerana tiada menyebut fardhu pada niat . Maka Khutbah Jumaat seperti hukum fardhu . Bersalahan sembahyang jenazah seperti hukum sembahyang sunat .Maka diqiyaskan niat menyentuh Mashaf dan tawaf dengan mengharuskan keduanya.

2)                Memindahkan tanah kepada anggotanya .Jika ditahankan tangannya akan debu yang dibawa oleh angin dan disapukan mukanya ,nescaya memadai . Bersalahan menghantarkan muka pada hawa supaya debu yang ditiup angin melekat pada mukanya , maka tiada memadai kerana tiada berlaku pindahan daripada tangan . Wajib disertakan niat tayamum yang tersebut pada masa nak letak debu tanah itu pada muka dan kekalkan niatnya hingga menyapu satu suku daripada mukanya . Jika berhadath ia (buat sesuatu yang membatalkan wudhu atau tayamum seperti terkentut misalan) kemudian daripada memindah tanah , nescaya harus menyapu dengan tanah itu dengan dibaharukan niat yang lain pula sebelum daripada menyapunya .

3)                Menyapu muka sebagaimana dalam wudhu`.

4)                Menyapu dua tangan serta dua sikunya denga dua kali pukul . Sekali kerana menyapukan mukanya dan sekali kerana menyapukan kedua tangannya. Tiada tertentu menepuk ke tanah bahkan jika dihantarkan tangannya atas tanah yang halus debunya dan melekat debu itu dengan tangannya dengan ketiadaan dipukul , nescaya memadai .

5)                Tertib . Maka wajib didahulukan menyapu muka atas menyapu dua tangannya samada tayamum daripada hadath kecil atau hadath besar atau daripada mandi sunat dan lainnya .

  Sunat Tayamum itu beberapa perkara

1)                Mengucap Basmallah tatkala mula meletakkan tangan pada debu .

2)                Menyapu muka dari pihak atas ke bawah .

3)                Mendahulukan menyapu tangan kanan atas yang kirinya .

4)                Menyedikitkan debunya seperti dipukulkan dua tepi tangannya atau ditiup .

5)                Menjarangkan anak jarinya .

6)                Menyelat-nyelati akan anak jarinya jika sudah sampai debu antara anak jarinya .Maka jikalau tiada sampai ,maka wajib menyelatinya .

7)                Jangan diangkatkan tangannya daripada anggotanya ketika sapu hingga sempurnakan sapunya .

8)                Menghadapkan kiblat .

9)                Memanjangkan غره  (yang lebih daripada yang wajib daripada mukanya )

10)            Memanjangkan تحجيل ( yang lebih daripada yang wajib daripada dua tangannya)

11)            Menanggalkan cincin pada hantaran yang pertama kepada tanah dan wajib ditanggalkan cincin pada hantaran yang kedua jika tiada sampai debu dibawah cincin .Jika sampai ,maka sunat .

12)            Membaca doa yang kemudian daripada wudhu` .Tiada sunat mengulangi sapunya lebih daripada sekali jua .

Inilah beberapa sunat pada Tayamum .

  Membatalkan Tayamum ada 3 perkara

1)              Segala perkara yang membatalkan wudhu` seperti keluar sesuatu daripada dua jalan (qubul dan dubur) .Tidur di atas kelakuan yang tidak tetap papan punggungnya .Hilang akal seperti sangat sakit atau gila atau mabuk atau pitam atau gila babi atau lainnya .menyentuh lelaki akan perempuan dengan tiada berlapik yang bukan mahramnya .Menyentuh faraj anak adam samada sendiri punya atau orang lain punya .Maka manakala tayamum seorang , kemudian berhadath ia ,nescaya batallah tayamumnya yang ada ia daripada hadath kecil .Adapun hadath besar ,tiada batal tayamumnya

2)              Mengetahui akan ada air dan jika sedikit sekalipun hingga jika berkata seorang bagi perhimpunan orang tayamum , “Aku mengharuskan kamu air ini.” padahal memadai air itu bagi seorang sahaja , nescaya batal tayamum sekaliannya .Maka setengah daripada waham (sangkaan ada air) itu , melihat akan kedatangan Kafilah  (puak) atau awan yang tebal pada hampirnya atau alang-alang (tempat jalan raya ,kita nampak gelombang macam air ketika panas) dan lainnya daripada barang yang di waham ada air sertanya ,pada hal tayamumnya sebab ketiadaan air ,nescaya batal tayamumnya jika ada waham itu sebelum daripada masuknya seseorang yang nak sembahyang itu ,pada sembahyang ,dengan bahawa ada waham itu sebelum daripada Ra` akbar atau sertanya Ra` akbar .Sekiranya selepas Ra` akbar ,maka tiada batal tayamumnya . Bersalahan jika diketahui akan ada air kemudian daripada masuknya sembahyang dan adalah sembahyang itu daripada barang yang tiada gugur fardhunya dengan tayamum seperti sembahyang pada tempat yang kebiasaannya ada air (dalam setahun ada air pada tempat itu melebihi 6 bulan) padanya , nescaya batal sembahyangnya pada ketika itu jua . Bersalahan pula , jika sembahyangnya itu daripada barang yang gugur fardhunya dengan tayamum seperti sembahyang ia pada tempat yang kebiasaanya tak ada air (dalam setahun tak ada air pada tempat itu melebihi 6 bulan ) atau bersamaan ada dan tak ada ,maka tiada batal sembahyangnya samada fardhu atau sunat . Jika tayamum seseorang kerana sakit dan umpamanya kemudian diketahuinya ada air ,tiada batal tayamumnya kerana ia tayamum bukan kerana tiada air .Tetapi jika sebab sembuh sakitnya ketika sembahyang ,maka batal tayamumnya .

3)              Murtad .Nauzubillahiminzalik …

Maka jika takut seseorang daripada memakai pada setengah daripada tubuhnya , misalan  kerana ada luka , samada pada anggota tayamum atau lainnya daripada anggota wudhu` (kepala dan kaki) , maka wajiblah dibasuhnya akan segala anggota yang sihat dan bertayamum ganti daripada anggota yang lukanya itu .

Kaifiat : Jka ada ia orang yang junub , didahulukan barang kehendaknya , samada hendak tayamum dahulu atau membasuh dahulu ,nescaya harus baginya .Jika ia orang yang berhadath kecil , hendaklah ia tayamum waktu membasuh anggota lukanya itu , ganti bagi bahagian yang tak terkena air ya`ni pada tempat lukanya . Adapun di tebing-tebing (tepi-tepi yang berdekatan) luka itu cara nak membasuhinya , kita ambil kain dan basahinya kain itu ,lalu lalukan kain itu pada tebing-tebing itu . Tiada tertib bagi kaifiat ini ,samada nak dahulukan membasuh pada anggota luka itu atau dahulukan tayamum ganti bagi tempat anggota luka itu .Walau begitu ,wajib tertib dengan anggota yang lainnya misalnya ada lukanya pada tangan ,maka wajib dibasuhkan mukanya dahulu , kemudian ia tayamum bagi ganti tempat luka itu atau dibasuh akan segala anggota yang baik  yang ada pada anggota luka itu , kemudaian ia tayamum ,nescaya harus kerana satu anggotanya iaitu tangan .Maka tiada boleh ia tayamum ganti bagi luka tangannya itu hingga sudah membasuh mukanya dahulu .

Jikalau ada atas tempat luka itu balut atau blat ( letak kayu sambung tulang atau simen) atau tampal yang tiada boleh ditanggalkan daripadanya ,maka hendaklah membasuh akan anggotanya yang baik ,kemudian disapu air atasnya .Selepas itu ditayamum akan ganti barang yang tiada sampai air yang dibawahnya ya`ni tayamum pada mukanya dan dua tangannya .Peringatan : Wajib qada` jika ada balut itu atau umpamanya pada anggota tayamum mutlak (samada kita sudah angkat wudhu` sebelum balut atau tiada ) .

Maka jika ada balut itu pada bukan anggota tayamum seperti pada kakinya yang tempat wajib basuh pada wudhu` , walhal dihantarkan balut itu dengan hal keadaan berhadath , nescaya wajib qada` .Demikian lagi jika dihantarkan balut itu hal keadaan ia berwudhu` tetapi ada pada tempat itu najis yang tiada dimaafkan , nescaya wajib qada` juga . Begitu juga jika dihantarkan balut itu hal keadaan ia berwudhu` dan tiada ada najis yang tiada dimaafkan dibawahnya tetapi banyak anggota yang sahih (sihat) dibawah balut itu , yang lebih daripada kadar hajat memakai dia , nescaya wajib qada` .Adapun jka kadar hajat ,tiada yang lainnya ,maka tiada wajib qada` atasnya .

Maka Berbilang-bilanglah tayamum dengan sebab berbilang-bilang anggota yang sakit .Maka apabila tertegah memakai air pada dua anggota , maka wajib dua tayamum . Jika pada tiga anggota ,maka wajib tiga tayamum .Jika pada empat anggota ,maka wajib empat tayamum jika melengkapi sakit itu akan sekalian kepala . Jika tiada melengkapi , maka wajib tiga tayamum kerana bahawasanya kepala itu ,memadai menyapu pada tempat yang sahih (yang tak berbalut) daripadanya . Jika melengkapi sakit itu pada anggota yang empat ,maka wajib satu tayamum jua ganti daripada wudhu` kerana gugur tertib .Jika melengkapi sakit itu akan tiga anggota yang lain daripada kepala , nescaya wajib dua tayamum . Satu tayamum ganti daripada muka dan dua tangan kerana gugur wajib membasuh keduanya yang menghendaki ia bagi gugur tertib keduanya .Selepas itu, wajib menyapu air pada setengah kepalanya ,kemudian daripada tayamum yang pertama tadi . Satu tayamum yang lain pula ganti daripada dua kaki .Maka selesailah…

Wajib tayamum bagi tiap-tiap fardhu dan sembahyang yang dinazarkan dia . Maka tiada harus dihimpunkan dua sembahyang fardhu dengan tayamum yang satu . Tiada harus pula dihimpunkan pada dua tawaf fardhu (tawaf nazar dan tawaf haji misalan)  . Begitu juga tiada harus dihimpunkan pada sembahyang dan tawaf yang fardhu keduanya . Tiada juga dihimpunkan pada sembahyang Jumaat dan khutbahnya . Tetapi harus baginya dihimpunkan akan sembahyang fardhu dan mua`ddah (sembahyang yang diulang kepada yang lebih baik) dengan tayamum yang satu .Demikian lagi harus , satu fardhu dan beberapa sunat .Wallahualam .


Respon

  1. Saya tak faham bab tayammum bagi tempat yang bersimen..contoh tangan saya bersimen dari jari hingga ke lengan selama 6 bulan..saya hanya berwudhuk seperti biasa dengan menyapu sahaja air ke atas tempat bersimen tersebut..sah kah wudhuk saya? Kalau diwajibkan bertayammum bagaimana caranya?
    Mintak penjelasan.Wassalam

    • sebenarnya mengaji feqah nk kena berdepan dengan guru supaya boleh melihat perbuatan guru itu tapi takpe .Oleh kerana bersimen itu tempat anggota tayamum ,maka terlebih dahulu awak kena angkat wudhu’ dahulu sebelum bersimen supaya tak perlu qadha’ solat setelah buka simen itu .setelah bersimen,apabila nak mengambil wudhu ‘basuhkan tempat yang tak besimen itu dahulu baru sapukan air ke atas simen itu.setelah itu baru kita tayamum sebagaimana kaifiat tayamum.wallahualam

  2. Assalamualaikum ustaz, saya faham penjelasan yg ustaz berikan pd Mukasyafah tentang masalah yd dia alami… tapi yg saya kurang faham tentang huraian ustaz dalam bahagian perkara yg membatalkan tayamum, pernyataannya adalah sebegini: “Peringatan : Wajib qada` jika ada balut itu atau umpamanya pada anggota tayamum mutlak (samada kita sudah angkat wudhu` sebelum balut atau tiada )”. Berdasarkan kefahaman saya, bukankah maksud huraian ini walaupun si pesakit sudah ambil wudhuk sebelum membalut / menyimen, tetap juga perlu qada’ solat? Saya mohon jasa baik ustaz untuk jelaskan kefahaman saya ni betul ataupun salah, sebab saya rasa apa yg saya faham ni bertentangan dengan apa yg ustaz jelaskan pd Mukasyafah. Syukran jazilan… asif kalau menyusahkan ustaz kerana kedangkalan ilmu agama saya…

    • astraghfirullah terima kasih menegur.awak betul sebagaimana kefahaman awak .saya salah .


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: